Suluh Ilmu Sinar Bahasa (Bil. 2 Feb. 2014) | Page 4

Sinar Ilmu Suluh Bahasa . Bilangan 2 Februari 2014 Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua Oleh Noor Zila Md. Yusoff Matlamat kerajaan Malaysia menjadikan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar sepenuhnya daripada peringkat pengajian dasar hingga ke peringkat pengajian tinggi, jelas terlaksana secara menyeluruh mulai tahun 1983. Namun, dalam masyarakat yang berbilang kaum didapati pelbagai bentuk kemahiran berbahasa muncul dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang lahir dari pelbagai latar belakang. Sebagai contoh, kepelbagaian etnik kaum di Sarawak, menyebabkan terhasillah BM yang berbeza dengan BM standard (BMS) yang dipanggil sebagai BM dialek. Di Sarawak, BM dialek ini disebut sebagai BM Dialek Sarawak (BMDS). Oleh itu, pelajar-pelajar di Sarawak menghadapi masalah berkaitan dengan morfologi dan sintaksis BMS. Dalam penulisan, didapati bahawa terdapat banyak pengaruh dialek terhadap penghasilan BM standard. Didapati bahawa, penggunaan bahasa pertama( B1) di rumah dan pembelajaran bahasa kedua (B2) di sekolah ternyata membawa kesan yang menampakkan terbentuknya gangguan terhadap penghasilan bahasa dalam aspek tatabahasa dan sistem B2 yang dipelajari. Dalam mempelajari bahasa Melayu sebagai B2, wujud gangguan daripada bahasa pertama yang diperoleh secara semula jadi. Gangguan tersebut dilihat berbentuk pengaruh daripada unsur-unsur persekitaran linguistik seperti pendedahan dan penggunaan bahasa oleh pelajar tersebut serta sikap pelajar terhadap bahasa yang dipelajari. Nathesan (1995) menjelaskan bahawa bahasa sememangnya mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat penutur sesebuah bahasa tersebut. Kajian Alice Alim (2010, 2011) mendapati bahawa pemerolehan dan penguasaan bahasa seseorang pelajar sangat berkait rapat dengan latar belakang ibu bapa pelajar tersebut. Sebahagian besar ibu bapa yang mendapat pendidikan formal sama ada pada peringkat sekolah rendah dan menengah dalam aliran BM, akan mendorong keupayaan mempelajari BM dalam kalangan anak-anak mereka. Pengaruh faktor-faktor persekitaran linguistik seperti pengaruh rakan sebaya, jantina, tingkat ekonomi dan kedwibahasaan turut menyumbang kepada penguasaan BM oleh pelajar. Peranan ibu bapa atau penjaga dalam memberi pengajaran dan nasihat turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penguasaan BM yang baik oleh pelajar. Hal ini kerana, ibu bapa atau penjaga merupakan teras utama kecemerlangan seseorang pelajar itu untuk berjaya. Di samping itu, penggunaan bahan pengajaran yang berkesan juga boleh membantu pelajar-pelajar mempelajari bahasa Melayu dengan mudah terutama dalam kalangan pelajar-pelajar B2. Kekurangan bahan-bahan pengajaran yang berkesan menyebabkan pelajar-pelajar kurang berminat meneruskan pembelajaran dalam suasana yang membosankan. Justeru, u saha-usaha perlu dilakukan untuk menambah bahan pembelajaran sedia ada bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermakna dengan penghasilan bahan yang sesuai dan mudah serta penggunaan strategi pengajaran yang sesuai akan dapat membantu guru-guru yang mengajarkan BM sebagai B2 memupuk minat pelajar mempelajari bahasa Melayu. Justeru, pembelajaran B2 perlu difikirkan terlebih dahulu dan dirancang sepenuhnya oleh guru berbanding B1 yang diperoleh secara tidak formal. Pembelajaran harus berlaku dalam lingkungan sosial yang membolehkan bahasa kedua sering didengar dan dituturkan. Hal ini memerlukan latihan dan pengulangan sehingga menjadi tabiat atau kebiasaan. www.lmsipda.net/buletinjpm